Monday, August 10, 2009

Ramadhan Hadir Lagi

Setelah hampir setahun kita tinggalkan Ramadhan, akhirnya lebih kurang sepuluh hari lagi, kita akan sama-sama dapat menunaikan ibadah puasa sekali lagi. InsyaAllah kita pohon Tuhan mengizinkan kita sekali lagi dapat meng'imarahkan Ramadhan dan seterusnya merayakan AidilFitri yang mulia. Bukan semua orang dapat bertemu Ramadhan sekali lagi, ada yang telah dijemput oleh Allah tanpa dapat bertemu sekali lagi bulan Ramadhan...Saudara kita Allahyarham Yasmin Ahmad, telah dijemput kehadrat Illahi. Terasa baru semalam kita melihat karya-karya beliau, terutamanya iklan-iklan semasa kita menyambut hari Lebaran. Tetapi, Allah lebih Mengetahui mengapa beliau dipanggil seawal usia 51 tahun. Begitu juga Allahyarham Michael Jackson dijemput seawal usia setengah abad....Justeru, penuhilah ruang-ruang usia kita yang tersisa dengan pengabdian kepada Allah Yang Esa.....

Monday, April 27, 2009

Terlambat

Tidak pernah dijangka saya akan terlambat bangun pada hari bekerja, dengan anak-anak seramai lima orang, bukan mudah urusannya bila waktu terasa amat singkat.
"Cepat bangun mandi, sembahyang....pergi sekolah, dah lambat ni..."
Masing-masing cepat menyiapkan diri, kasihan....kalau ibunya bangun lewat, alamatlah semua pun terlewat. Tetapi, yang bagusnya rumah kami hampir dengan tempat kerja. Sekolah anak-anak pun hampir dengan rumah. Setelah semuanya siap, ayah mereka menghantar ke sekolah. Bukannya jauh,tidak sampai pun sepuluh minit, semuanya sudah berada di sekolah. Alhamdulillah, tak dapat dibayangkan kalau tinggal di bandar besar seperti KL atau di Penang, harus ambil cuti...

Sunday, April 26, 2009

Hujung minggu yang sibuk

Saya amatlah perlu waktu hujung minggu untuk berada di rumah- pertama: untuk bersama suami dan anak-anak (quality time),kedua: untuk memasak dan mengemas rumah...
Sudah lama sejak awal tahun ini, setiap hari Sabtu terdapat bermacam-macam program sama ada di tempat kerja mahupun tugasan di tempat lain. Justeru, hari Sabtu yang sepatutnya bersama keluarga, sudahpun berada di tempat kerja- yang tinggal hanya satu hari- Ahad.
Sementelah tempat kerja adalah calon untuk kategori Sekolah Cemerlang, jadi terpaksa juga berkorban masa untuk tempat mencari rezeki.
Kebetulan minggu ini ada program TV3 Jom Heboh di Pangkalan TLDM, Lumut. Anak-anak mengajak untuk ke sana, bukan tidak mahu. Kalau sebelah rumahpun, tak tentu boleh meluangkan masa ke sana. Sebab di rumah ada beberapa "gunung" pakaian yang masih belum dilipat, bukan tidak pernah ke Jom Heboh, masa ada di Ipoh dulu pun kami pernah sampai.
Lagipun, hari Isnin nanti, anak-anak akan menghadapi Peperiksaan Pertengahan Tahun, jadi cukuplah alasan untuk tidak pergi ke Jom Heboh...

Friday, April 24, 2009

Teruja

Berbulan lamanya tidak mengemaskini blog, hanya mengintai cerita bloggers lain, sedikit teruja untuk bersantai dalam dunia blogging. Meskipun tidak mahir IT, rasanya tidak salah mencuba. Beberapa rakan bertanya:
"Kenapa dah lama tak update blog?"
Saya tidak menjawab, hanya tersenyum. Dalam hati pelbagai alasan mahu dicari.
Tiada masa? Oranglain pun diberi 24 jam sehari....

Thursday, August 14, 2008

KELEBIHAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.
1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-
2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-
3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-
4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-
5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-
PENERANGAN HADIS
1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.
3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.
4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.
5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.
7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.
8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.
9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.
10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.
11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.
Biografi
1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.
2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani
3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.

Kulliyyah D'Stesma


Saya memulakan blog Kulliyyah D'Stesma ini pada hari Jumaat,15 hb Ogos 2008 bersamaan 13hb Sya'aban 1429 Hijrah dengan doa dan harapan agar dapat menambahkan ilmu sesiapa yang melayarinya. Sesungguhnya ilmu itu untuk dikongsi bersama dan dimanfaatkan. Dengan keberkatan penghulu segala hari, di bulan yang penuh barakah, sama-samalah kita saling nasihat-menasihati, agar kehidupan kita yang sementara ini dipenuhi dengan amal kebajikan. Hanya amal jariah iaitu ilmu yang dimanfaatkan akan membantu kita di alam yang kekal abadi, InsyaAllah.